Dr. Zakir Abdul Karim Naik merupakan seorang pakar dalam bidang perbandingan agama diperingkat antarabangsa. Beliau sangat terkenal dengan teknik pidato dan debatnya yang sangat mantap dan berkesan, menggunakan dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis yang sahih serta beberapa kitab-kitab agama lain seperti kitab Bible, kitab Veda, kitab Bhagwad Geeta, kitab Upandishads dan banyak lagi.
Dilahirkan pada 18 Oktober 1965 di Mumbai, India beliau juga terkenal dengan kebolehannya mematahkan hujah pihak lawan serta memberikan jawapan yang menyakinkan terhadap persoalan-persoalan yang dikemukakan secara sepontan.
Menjelang tahun 2002, beliau sudahpun memberikan lebih daripada 1000 ceramah di peringkat antarabangsa seperti di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Arab Saudi, United Arab Emirates, Kuwait, Qatar, Bahrain, Oman, Afrika Selatan, Itali, Mauritius, Australia, Malaysia, Singapura, Hong-Kong, Thailand, Guyana (Amerika Selatan) dan banyak lagi termasuklah ceramah ditempat asal beliau sendiri; India.
Dr. Zakir Naik mendapat pendidikan awal di St. Peter’s High School (I.C.S.E), Mumbai sebelum ke Kishinchand Chellaram College, Mumbai dan Topiwala National Medical College, Nair Hospital, Mumbai. Akhirnya, beliau mendapat Ijazah Kedoktoran dalam bidang perubatan, M.B.B.S (Bachelor of Medicine and Bachelor of Surgery) di University of Mumbai, India.
Beliau aktif melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti dialog antara agama, dan antara yang paling berjaya adalah dialog bersama-sama Dr.William Campbell (Amerika Syarikat) pada 1 April 2000. Beliau digelar oleh seorang individu yang tidak asing lagi dalam dunia perbandingan agama; Sheikh Ahmad Deedat, sebagai ‘Deedat Plus’ pada tahun 1994.
Beliau juga menerima sebuah plag pada Mei 2005 sebagai anugerah daripada Ahmad Deedat yang terpahat padanya : “Son what you have done in 4 years had taken me 40 years to accomplish, Alhamdulillah.” Ia bermaksud, “Wahai anak muda, kamu hanya mengambil masa selama 4 tahun untuk mencapai apa yang saya dapat capai dalam tempoh 40 tahun. Alhamdulillah.”
Beliau sering dijemput untuk menyampaikan ceramah dibeberapa stesen televisyen dan radio di pelbagai negara, dan kini ratusan daripada video rakaman ceramah beliau boleh didapati dalam bentuk pita video dan cakera padat (CD)
Beliau kini telah meninggalkan karier beliau sebagai seorang doktor perubatan untuk menumpuhkan seluruh masa dan tenaga beliau untuk aktiviti dakwah islamiyah. Beliau kini menjawat jawatan sebagai Presiden Islamic Research Foundation (I.R.F), Pengerusi I.R.F. Educational Trust, dan Presiden Islamic Dimensions, Mumbai.
Antara buku-buku yang telah dikarang oleh Dr. Zakir Naik termasuklah Replies To The Most Common Question Asked by Non-Muslim, Quran And Modern Science – Compatible Or Incompatible, Concept Of God In Major Religions, Islam And Terrorism, Women’s Right In Islam – Protected Or Subjugated?, Al-Quran – Should It Be Read With Understanding?, Is The Qur’an God’s Word? Dan banyak lagi.
Antara debat beliau yang terkenal adalah Qur’an and Bible in the light of Science. Debat hebat ini berlangsung di Skokie, Illinois, USA. Dr. Zakir Naik telah bertindak menerima cabaran Dr. William Campbell yang pernah menulis buku menghina al-Quran bertajuk “The Qur’an and the Bible in the light of History and Science”. Dalam buku tersebut Dr.William Campbell menghina Al-Quran dengan mengatakan fakta-fakta di dalamnya bertentangan dengan Sains manakala ayat-ayat Bible menunjukkan fakta sains. Beliau juga mencabar Orang Islam untuk menjawap dakwaan beliau.
Pada Februari 2011, beliau dijemput selaku pengasas dan presiden Islamic Research Foundation (IRF) oleh Oxford Union for Historic Debate, Universiti Oxford, United Kingdom. Debat bersejarah itu disertai oleh ahli akademik dan mahasiswa dan terlibat dalam sesi soal jawab yang dipancarkan melalui satelit. “Islam & 21st Century” sebagai makalah pilihan Oxford Union for Historic Debate dihujahkan secara padat dan bijak oleh Dr Zakir Naik. Hujah-hujah beliau sebenarnya telah menjawab dan menyelesiakan polemik islamophobia yang telah menimbulkan salah faham seluruh dunia.
Dr Zakir Naik - Oxford Union Debate on Islam - 21st century (age of science) - Full Video from Naved Zia on Vimeo.